Friday, February 15, 2013

Pemilik Cinta Kita Yang Sebenar-Benarnya...

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum w.b.t. semua...

Sahabat-sahabat WassalamNur apa khabar??? Sudah beberapa hari nabilah tidak post di sini... Nampaknya nabilah ni sudah semakin malas ni... Eh, tidaklah... Hehehehe... Nabilah sebenarnya cuba mencari-cari masa serta info-info atau artikel-artikel yang menarik buat dikongsi bersama-sama sahabat-sahabat WassalamNur sekalian... Di samping itu juga, pada cuti baru-baru ini nabilah lebih selesa bersama-sama dengan famili nabilah... Bersama-sama dengan ayah, emak dan juga adik nabilah... Lagipun, jarang juga kalau nak bersama dengan mereka... Dengan ayah dan emak tidaklah... Yang nabilah maksudkan di sini ialah adik nabilah... The one and only one my lovely sister... Walaupun bila dia ada nabilah selalu mengusik dia, namun, usik bukan tanda benci atau tidak sayang, tapi, macam orang selalu kata, usik-usik manja la katakan... Hehehehe... Alamak, sudah merepek pulak nabilah kali ni... :) 

Hmmmm... Baiklah, berkaitan ngan tajuk kita pada kali ini mungkin ramai yang akan tertarik apabila membaca sahaja tajuk entri WassalamNur kali ini... Mungkin juga ada yang di luar sana tertanya-tanya mengapa nabilah tetiba sahaja ingin menaip entri yang berunsur-unsur cinta ni... Terutamanya jika saudara-mara nabilah atau famili nabilah sendiri yang membaca entri di blog nabilah kali ini... Mesti timbul soalan ini dalam fikiran mereka, "Amboi, budak ni dah gatal ke???" atau "Sudah gatal nak kahwinkah nabilah ni???"... Tidak, tidak... Tidak sama sekali... Insyaallah, belum sampai lagi ke tahap itu, ayah, emak, adik, pak cik, mak cik dan sepupu-sepupuku sekalian... Hehehehe... 

Walaupun kadang-kadang tidak dapat dinafikan, memang timbul juga difikiran ini soal siapakah yang bakal menjadi jodohku kelak, namun, nabilah hanya mampu berdoa dan menolak untuk berfikir soal itu dahulu kerana nabilah masih mempunyai perjalanan yang jauh... Ya, perjalanan yang penuh dengan liku-liku kehidupan yang sememangnya masih banyak yang belum kutempuhi...  

Ada juga sahabat di sekolah bertanya, "Hati nabilah belum diketuk sesiapa ke?" Wah, wah, wah... Cantik soalan tu... Nabilah hanya mampu berdiam sahaja... Ya atau tidak, nabilah sendiri dalam tanda tanya... Meskipun, ada juga sahabat-sahabat nabilah yang sering berkongsi cerita tentang perasaan mereka soal ini kepada nabilah, namun nabilah hanya mampu menjadi pendengar yang baik kepada mereka... Kadang-kadang nabilah ada juga mengusik mereka tatkala suasana dalam kelas sedang riuh... Mereka pun begitu juga... Mulalah kaitkan diri ini dengan orang itu dan ini sedangkan diri ini tidaklah begitu mengenali dengan orang yang dikaitkan mereka... Hahahaha... 

Ah, tetiba rasa malu pulak bila berbicara soal ini... Malu kerana diri ini belum layak untuk berbicara soal ini... Sebenarnya kadang-kadang kita terlupa, bila telah asyik melayan cinta yang berlandaskan nafsu semata-mata, kita lupa tentang cinta kita pada Yang Esa, iaitu cinta kita dengan Allah S.W.T.... Nabilah takut bila terfikirkan soal yang dikatakan cinta ini... Ya, soal ini... Terus terang, hati nabilah memang sudah terusik sedikit sejak belakangan ini... Walaupun rasa bahagia namun diri ini juga takut jika lama-kelamaan ia boleh menjadi racun kepada perasaan yang kita sendiri belum tentu tahu berapa lama ia akan bertahan... Sedih kalau kita tengok sekarang dah ramai, tidak kiralah lelaki mahupun perempuan yang hancur dalam percintaan sesama manusia... Semuanya kerana apa??? Let's back to the basic... It is because how much we love our God, Allah S.W.T.... Pernahkah kita terfikir... Seberapa banyakkah cinta kita kepada pencipta kita??? Allah mengasihi semua hambanya... Sama banyak, dan sama rata... Mahukah kita melihat Allah mula murka kepada kita disebabkan cinta kita kepada yang belum tentu menjadi milik kita??? Cinta yang mengagung-agungkan manusia lebih daripada Pencipta yang mencipta manusia itu sendiri... Cinta yang berlandaskan nafsu serakah semata-mata... Selama manakah ia akan bertahan??? 

 
Sebenarnya nabilah sendiri terkejut, "Benarkah ini kata-kata yang aku luahkan di sini???" Nabilah juga sebenarnya takut bila memikirkan nasib nabilah sendiri... Nabilah takut bila berbicara soal ini... Malu... Kerana berapalah sangat cintaku kepada Tuhanku, berapalah sangat cintaku kepada Rasulku, berapalah sangat cintaku kepada ayah dan emakku serta adikku jika aku sekarang sudah mau bercinta dengan seseorang yang belum tentu menjadi milikku... Sesungguhnya aku belum siap... "Ya Allah, engkau jauhkanlah diriku serta kami semua dari cinta yang boleh membawa kami kepada perzinaan Ya Allah... Engkau tetapkanlah cinta kami ini pada yang betul-betul layak menerimanya... Jadikanlah orang yang soleh dan solehah menjadi peneman kami selepas Engkau dan kekasih Engkau, Muhammad... Lapangkanlah hati kami untuk mencintai dan menerima cinta darimu sebelum kami bersedia untuk mencintai sesama kami Ya Allah..." Amin Ya Rabbal Alamin... 


Jika sahabat-sahabat mempunyai masa yang terluang lagi, moleklah kiranya sahabat-sahabat teruskan membaca entri ini lagi, kerana nabilah sebenarnya telah sediakan satu artikel yang ingin nabilah kongsikan khas buat sahabat-sahabat yang masih keliru soal cinta ini... Oleh kerana diri ini tidak mampu untuk berbicara soal ini dengan lebih mendalam, jadi nabilah serahkan pada yang lebih arif untuk mengulas topik ini dengan lebih lanjut... Wah, dah macam bahasa bahas pulak nabilah ni... Baiklah, kita teruskan lagi entri ini dengan artikel bertajuk, 'Salahkah Bercinta Dalam Islam???' yang diambil dari laman sesawang Pakar Cinta, blog yang sememangnya arif dalam mengulas topik cinta dalam Islam... 


Salahkah Bercinta Dalam Islam?

Soalan:
Apakah kedudukan cinta di dalam Islam? Adakah Islam memusuhi cinta? Adakah sebegini kejam sebuah agama yang disifatkan menepati fitrah? Bolehkan kita bercinta?

Jawapan Pakar Cinta:
Sebenarnya Islam tidak memusuhi cinta. Malah Islam memandang tinggi persoalan cinta yang tentunya merupakan perasaan dan fitrah yang menjiwai naluri setiap manusia. Namun, cinta di dalam Islam perlulah melalui pelbagai peringkat keutamaannya yang tersendiri :


1. Cinta kepada Allah
Islam meletakkan cinta yang tertinggi dalam kehidupan manusia ialah cinta kepada Allah. Ketinggian nilai taqarrub Al-Abid kepada Khaliq dapat dikesan melalui cinta murni mereka kepada Pencipta.
 
Tanpa cinta kepada Allah perlakuan hamba tidak memberi pulangan yang bererti sedangkan apa yang menjadi tunjang kepada Islam ialah mengenali dan dan menyintai Allah.
 
Sinaran cinta itu jua akan mendorong hamba bertindak ikhlas di mihrab pengabdian diri kepada Allah serta menghasilkan cahaya iman yang mantap. Firman Allah SWT :

“Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah…”
- (Surah Al-Baqarah ayat : 165)
Memiliki cinta Allah seharusnya menjadi kebanggaan individu mukmin lantaran keagungan nilai dan ketulusan ihsan-Nya.Namun menjadi suatu kesukaran untuk meraih cinta Allah tanpa pengabdian yang menjurus tepat kepada-Nya.
 
Cinta Allah umpama satu anugerah yang tertinggi dan tidak mungkin sesiapa dapat memilikinya kecuali didahulukan dengan pengorbanan yang mahal. Cinta Allah adalah syarat yang utama untuk meletakkan diri di dalam barisan pejuang-pejuang kalimah Allah SWT.
 
Firman Allah SWT (yang bermaksud) :

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir…” – (Surah Al-Maidah, ayat 54)
 2. Cinta Kepada Rasulullah SAW dan Para Anbiya’
Apabila manusia berada di dalam kegelapan yang begitu kelam,maka diutuskan pembawa obor yang begitu terang untuk disuluhkan kepada manusia ke arah jalan kebenaran.
 
Sayang, pembawa obor tersebut terpaksa bergelumang dengan lumpur yang begitu tebal dan menahan cacian yang tidak sedikit untuk melaksanakan tugas yang begitu mulia.


Pembawa obor tersebut ialah Rasulullah SAW. Maka adalah menjadi satu kewajipan kepada kepada setiap yang mengaku dirinya sebagai muslim memberikan cintanya kepada Rasulullah dan para ambiya’.
 
Kerana kecintaan inilah, para sahabat sanggup bergadai nyawa menjadikan tubuh masing-masing sebagai perisai demi mempertahankan Rasulullah SAW. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim menyebut :

Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda:
Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka.
- (Bukhari : no. 15, Muslim : no. 60, Tirmizi : no. 2548 Nasaie : no. 4901)
 
Namun, dalam suasana kita sekarang yang begitu jauh dengan Rasulullah SAW dari segi masa, adakah tidak berpeluang lagi untuk kita memberikan cinta kepada Rasulullah SAW? Sekalipun Rasulullah SAW telah meninggalkan kita jauh di belakang, sesungguhnya cinta terhadap baginda boleh dbuktikan melalui kepatuhan serta kecintaan terhadap sunnahnya.
 
Oleh yang demikian, orang yang memandang hina malah mengejek-ngejek sunnah Rasulullah SAW tentunya tidak boleh dianggap sebagai orang yang menyintai Rasulullah SAW.
 
3. Cinta Sesama Mukmin
Interaksi kasih sayang sesama mukmin adalah merupakan pembuluh utama untuk menyalurkan konsep persaudaraan yang begitu utuh. Cinta sesama mukmin inilah yang mengajar manusia supaya menyintai ibubapanya.
 
Malah mengherdik ibubapa yang bererti merungkaikan talian cinta kepada keduanya adalah merupakan dosa besar sebagaimana yang disebut di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a katanya:

“Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w, baginda telah bersabda: Mahukah aku ceritakan kepada kamu sebesar-besar dosa besar: Ianya tiga perkara, iaitu mensyirikkan Allah, mengherdik kedua ibu bapa dan bersaksi palsu atau kata-kata palsu..”
- (Hadis riwayat Bukhari, no. 5519, Muslim : no. 126)


Alangkah indahnya sebuah agama yang mengajar penganutnya agar menghormati dan menyintai kedua ibubapanya yang telah melalui susah payah untuk membesarkan anak-anak mereka. Di manakah lagi keindahan yang lebih menyerlah selain daripada yang terdapat di dalam Islam yang mengajar umatnya dengan pesanan :

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
- (Surah Israk, ayat 24)
 
Selain daripada cinta kepada kedua ibubapa ini, Islam juga meletakkan cinta sesama mukmin yang berimana sebagai syarat kepada sebuah perkumpulan atau jemaah yang layak bersama Rasulullah SAW. Hayatilah betapa dalamnya maksud firman Allah SWT :

“Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)”
- (Surah Al-Fath, ayat 29)
 
Malah, Al-Quran sendiri menukilkan betapa pujian melangit yang diberikan oleh Allah SWT kepada golongan Ansar yang ternyata menyintai golongan Muhajirin dengan cinta suci yang berasaskan wahyu Ilahi. Malah dalam keadaan mereka berhajat sekalipun, keutamaan tetap diberikan kepada saudara-saudara mereka dari golongan Muhajirin. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. ..”
- (Surah Al-Hasyr, ayat 9)
 
Bukankah ini yang telah diajar oleh Islam? Maka di tengah-tengah kecaman keganasan yang dilemparkan kepada Islam pada hari ini, kenapa tidak masyarakat antarabangsa malah umat Islam sendiri melihat bahawa betapa agungnya unsur kasih sayang dan cinta yang terdapat di dalam Islam?
 
Namun, betapa agungnya cinta di dalam Islam, begitu jualah agungnya penjagaan Islam sendiri terhadap umatnya agar sama sekali tidak mencemarkan kesucian cinta dengan kekotoran nafsu.
 
Itulah cinta di dalam Islam. Ia tidak dapat tidak haruslah diasaskan di atas dasar keimanan kepada Allah. Alangkah ruginya cinta yang lari dari landasan iman. Akan hanyutlah jiwa-jiwa yang menyedekahkan dirinya untuk diperlakukan oleh ‘syaitan cinta’ sewenangnya-wenangnya.


Alhamdulillah, sekian sahaja entri WassalamNur pada kali ini... Nampaknya entri WassalamNur kali ini lebih panjang daripada biasa atau mungkin sama sahaja... Namun begitu, diharapkan agar sahabat-sahabat sekalian tidak jemu untuk teruskan follow entri-entri terbaharu dan entri-entri yang telahpun sedia ada di WassalamNur ini... Sekian sahaja untuk kali ini, semoga cinta kita kepada Allah dan Rasul memimpin kita ke arah cinta yang kekal abadi... Insyaallah... Wassalamualaikum... :) 



5 comments:

  1. salam...tersentuh hati..sedih bila baca..bile kenang dri sndri..di mana tahap cinta kita trhdp Allah..

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam w.b.t. Nadia...
    Iya, samalah nabilah pun... Saat nabilah menaip entri ni pun nabilah mcm tidak percaya... "Inikah kata-kata nabilah???" Nabilah merasakan diri ini terlalulah kerdil bila memikirkan cinta nabilah pada Allah S.W.T.... Rasa takut dan sedih bila hati ini sangatlah mudah digoyah oleh godaan syaitan dan nafsu ini... Semoga Allah senantiasa melindungi kita semua dari cinta yg berlandaskan nafsu semata-mata... Insyaallah... Amin Ya Rabbal Alamin... :)

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah. Moga dianugerahkan kita hati yang bersih, iman yang kuat agar mampu kita hindari dari melakukan perkara2 terlarang.

    Cinta itu indah, cinta itu cantik, dan cinti itu adalah anugerah =)

    ReplyDelete
  4. ANISRAHIM: Insyaallah Anis... Amin Ya Rabbal Alamin... :)

    ReplyDelete